Monday, March 19, 2012

Bermain catur di pentas dunia

Aku membaca mana letaknya tangan itu
Kelipan mata, garisan muka
Menggelengkah atau mengangguk
Kerna bahasa itu mampu bercerita
Tidak membohongi seperti kata lidah

Manusia bermain wayang,
Bukan anugerah piala tahunan jadi taruhan
Tapi beras, roti dan lauk di dalam saji
Ada juga memanjat tangga masyarakat
Menjadi garis panduan baju kerlipan,
Kasut berjenama, sanggul cantik kulit menawan
Ahh, mungkin dikaburi mata
Dengan status, pujian, penghormatan berlebihan
Di sini madam, Di sana Sir
Hingga jalan mendabik dada

Menarik

Sunday, March 18, 2012

Di kala cinta membuai

Bagai bunga tamar,
Permulaan suatu kemanisan,
Penyembuh kelukaan,
Di tengah kekudusan padang pasir

Manisan itu di dalam,
Sempurna diselimuti kekeringan,
Bertanya sekali,
Manakan ketahui isinya,
Setelah melihat luar yang berlainan

Syukur,
Ku temui tamar manis

H.J.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Mencuba bertahan
Di atas tulisan daun luruh,
Berdakwatkan dahan
Sengaja mahu kekal
Katanya hingga akhir rasa

Bila untung terhakis
Bagai ombak mendesah pasir-pasir
Bergerak sedikit, berubah wajah,
Daun hanya daun,
Hijau ke kuning, mati kekeringan

Ku berharap yang terakhir..

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


Satu dua tiga,
Aku berkira kali rambut kau belai,
Satu dua tiga lagi,
Nampaknya kau tidak senang duduk,
Adakah getarnya kau rasa juga,
Kerna aku telah denganmu,
Apakah, kita berasa bersama..