Thursday, September 1, 2011

Sebuah perkenalan


Permulaannya bagaikan di pentas, dimana sutradara bermain dengan kata-kata dikarang, itulah pementasan dunia. Hati gadis mana tidak diratah perasaan suka bagai di awangan jika garisan puitis kata di beri. Mungkin itu dirasai Fie, gadis riang yang dulunya tidak percayakan cinta lelaki. Hidupnya dulu di penuhi dengan kehijauan alam semulajadi, hujung minggu dihabiskan dengan mendaki bukit, tidakpun dia akan ke hutan simpan atau ke anak sungai. Pada satu ketika keasyikannya menyendiri membuatnya di sindir “orang hutan” dengan rakan-rakannya.

Bukan niatnya ingin bersembunyi tetapi dia bagaikan bingit dengan kesibukan kota, rimas dengan alunan kasar kebendaan warga di kota. Rakannya berebut-rebut menunjuk itu ini, siapa yang akan memperaga jenama terkenal, fesyen terkini, gajet termoden. Baginya semuanya tidak perlu dibalik kehijauan dunia. Dia tenang dan itu yang penting.

Dan ketika Adam hadir, itu yang di harapnya, agar ada seseorang dia boleh menumpang minat. Jika dahulu dia seorang mendaki bukit, meredah anak sungai, merayap di hutan simpan, dia hanya mahukan Adam berada di sampingnya. Fie mahu melihat matahari terbit dari Bukit di Melawati bersama, atau teman ketika berkhemah di tengah hutan.

Pada mulanya, itulah yang dijanjikan oleh Adam, di awal perkenalan di siapkan “resume” diri untuk menambat hati gadis idamannya. Kata-kata pujian di selit dengan harapan yangmereka akan bersama hingga ke akhirnya. Di balik awan-awan perkenalan sebalik kemesraan, sedari tidak Adam mula mengawal pergerakkan Fie.

Sudahnya lama-kelamaan, denai tinggalan Fie di dalam hutan mula diselaputi pohon, keladak tanah di anak sungai mula hilang dan pasir terhakis perlahan-lahan. Kehidupannya kini ditengelami arus kesibukan manusia di kota, dulunya pohon kayu sekarang dia hanya berteduh panas di balik tembok konkrit.

Jiwanya memberontak, lain yang di harap lain yang jadinya. Kadang-kala dirasa dirinya hilang pabila bersama Adam. Semakin dia bersama Adam, semakin dia rasa terasing. Akhirnya dia pasrah, Fie solat tahajjud dan memohon pada Pencipta agar diberikan jalan yang terbaik…